Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

Sunday, February 16, 2014

TAHNIAH PELAJAR SMA AL-HASANAH MEMBACA KHUTBAH DI MASJID FELDA KERATONG

SMA al-Hasanah mengucapkan tahniah kepada tiga pelajar yang telah dipilih untuk membacakan khutbah di Masjid Felda Keratong 1, 2 dan 3.

Semoga latihan khutbah itu akan menjadi pendorong kepada pelajar lain mempersiapkan diri masing-masing dengan kemahiran berkenaan.

Pihak sekolah turut berbangga dengan kesediaan mereka membaca khutbah di masjid-masjid berkenaan. Diharap program ini dapat diteruskan dan mendapat kerjasama sebaiknya daripada semua pihak yang terlibat.

Friday, February 14, 2014

KHUTBAH JUMAAT PELAJAR PADA 14 FEBRUARI 2014 SEMPENA PROGRAM KHATIB MUDA SMA AL-HASANAH

Sekolah Menengah Agama al-Hasanah, Bandar Tun Razak, Rompin melaksanakan Program Khatib Muda sempena Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) anjuran Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia mulai pertengahan Januari yang lalu. Latihan Khutbah berkenaan dilaksanakan di surau sekolah pada setiap malam Rabu selepas solat Maghrib.

Sebagai lanjutan kepada latihan ini, pihak sekolah telah memilih tiga orang pelajar untuk menyampaikan Khutbah Jumaat di tiga buah Masjid pada 14 Februari 2014 iaitu Masjid Keratong 1, 2, dan 3, sebagaimana butiran berikut:

Bil
Nama Pelajar
Ting
Masjid
1
MUHAMMAD FARIS AIZAT BIN MOHD AZALI
5
Keratong 1
2
MOHAMAD SHAFIZUAN BIN MOHAMAD SULAM
5
Keratong 2
3
MUHAMMAD NIZAMUDDIN BIN MAHIR
5
Keratong 3

Penyampaian Khutbah Jumaat berkenaan telah mendapat kebenaran daripada pihak Jabatan Agama Islam Muadzam Shah, Rompin. Pihak sekolah akan memastikan bahawa segala peraturan dan arahan yang terkandung di dalam surat pekeliling berkaitan perkara ini dipatuhi sepenuhnya.

Semoga program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan dapat menyemarakkan budaya sekolah dalam menuju visi dan misinya ke arah melahirkan golongan bakal ulamak menjelang 2016. Amin.

Tahniah kepada tiga pelajar berkenaan dan diharap menjadi inspirasi kepada pelajar yang lain.

Monday, February 10, 2014

SELAMAT BERTUGAS DI SEKOLAH BARU

Pihak sekolah mengucapkan selamat bertugas di sekolah baru kepada tiga orang guru SMA al-Hasanah yang telah diluluskan permohonan perpindahan masing-masing pada bulan Februari 2014 ini.

Ustaz Suhaimi bin Ahmad telah berpindah ke SMK Seri Mahkota, Kuantan, Ustaz Faizal bin Mohd Amin ke SMK Tanjung Gemuk, Kuala Rompin, manakala Kaunselor, En. Mohd Nor bin Che Ibrahim ke SMK Keratong, Bandar Tun Razak.

Semoga ketiga-tiga guru berkenaan akan menghasilkean kerja yang lebih cemerlang di tempat yang baru.

SELAMAT BERTUGAS.

Thursday, February 6, 2014

MESYUARAT PENUBUHAN JAWATANKUASA TASK FORCE PROJEK 1MURID 1SAWIT SMA AL-HASANAH TAHUN 2014

Mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Task Force Projek 1Murid 1Sawit SMA al-Hasanah tahun 2014 telah dijalankan dengan sempurnanya pada 4 Februari 2014 (Selasa) di Pusat Sumber Sekolah bermula jam  9.30 pagi.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengetua SMA al-Hasanah, Dr. Abd. Jalil Ahmad tersebut telah turut disertai oleh wakil pejabat YB Dato' Haji Wan Kadri Haji Wan Mahusin, ADUN Bukit Ibam, wakil Pejabat Tanah dan Daerah Rompin, wakil Lembaga Pengelola Sekolah SMA al-Hasanah, YDP PIBG SMA al-Hasanah, wakil Teras Dara Konsortium Muadzam Shah, serta Tok Empat Bandar Tun Razak, Rompin di samping pegawai pentadbiran sekolah.

Dalam mesyuarat tersebut, pihak pengurusan sekolah telah membentangkan kertas kerja projek 1Murid 1Sawit termasuk cadangan kos, dan ahli mesyuarat bersetuju dan menerima secara dasar pelaksanaan dan cadangan kertas berkenaan.

Mesyuarat bersetuju supaya pihak sekolah dengan kerjasama Lembaga Pengelola Sekolah mendapatkan status tanah tapak sekolah dan kawasan persekitaran daripada Pejabat Tanah dan Daerah Rompin terlebih dahulu sebelum sebarang usaha memajukan kawasan berkenaan dilaksanakan.

Ahli mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk membantu bagi mempastikan projek tersebut dapat dijayakan bagi mengisi dana kecemerlangan akademik sekolah.

Mesyuarat yang dihadiri oleh wakil-wakil egensi dan pihak-pihak yang berautoriti dalam pelaksanaan projek ini adalah suatu yang amat bermakna bagi sekolah dan menjadi batu asas kepada pelaksanaan projek itu nanti.

PENGARAH JABATAN HAL EHWAL PEMBANGUNAN ISLAM FELDA MELAWAT SMA AL-HASANAH

Y.Bhg Tuan Haji Hasanuddin Mohd Yunus, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pembangunan Islam FELDA dengan berbesar hati telah melapangkan masa beliau melawat Sekolah Menengah Agama al-Hasanah, Felda Keratong 1, Bandar Tun Razak pada 30 Januari 2014 yang lalu.

Lawatan tersebut adalah sempena kunjungan beliau ke Felda Keratong 1 dan seterusnya menyampaikan ceramah Maulidur Rasul di majlis Sambutan Maulidur Rasul Masjid Felda Keratong 1. Dalam kunjungan singkat beliau ke sekolah, beliau dibawa melawat persekitaran sekolah dan diberi penerangan berkenaan rancangan pembangunan sekolah pada masa-masa akan datang. 

Pertemuan tersebut memberikan makna yang amat besar kepada pihak sekolah dan berharap bantuan berterusan dapat disalurkan oleh pihak FELDA kepada pihak sekolah pada masaakan datang. 

Pihak sekolah difahamkan bahawa FELDA memang telah mempunyai perancangan dan cadangan bagi pembangunan sekolah-sekolah agama yang bernaung di bawahnya di seluruh negara dan berharap SMA al-Hasanah mendapat manfaat daripada perancangan dan cadangan berkenaan.

Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas kunjungan hormat berkenaan.


Wednesday, February 5, 2014

TAHNIAH LEMBAGA PEPERIKSAAN: TAKLIMAT SPPMRR DI SMK MUADZAM JAYA, ROMPIN

Ucapan tahniah dan terima kasih kepada pegawai daripada Lembaga Peperiksaan atas pembentangan kertas berkaitan SPPMRR pada hari ini 5 Februari 2014 di SMK Muadzam Shah, Muadzam Shah, Rompin.

Pembentangan yang cukup baik dan jelas serta memberi manfaat kepada hadirin. Kami memahami kekangan yang ada di semua peringkat dalam pelaksanaan sistem baru ini. Semoga ia akan sentiasa dalam penambahbaikan bagi mempastikan kecemerlangan murid hingga ke peringkat antarabangsa.

Terima kasih.