Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

Tuesday, December 2, 2014

TEMUDUGA PENGAMBILAN PELAJAR TINGKATAN 1 BAGI TAHUN 2015

al-Hamdulillah sesi temuduga pengambilan pelajar Tingkatan 1 bagi Tahun 2015 telah berjalan dengan lancar pada hari Sabtu, 29 Novbember 2014 yang lalu. Seramai 110 orang calon telah ditemuduga.

Sesi temuduga bermula dengan pendaftaran pada jam 8.00 pagi dan diikuti dengan sesi penyemakan sijil dan dokumen pada jam 8.30 pagi. Semua ibu bapa telah memberikan kerjasama yang begitu baik sepanjang sesi temuduga berkenaan.
 Selepas sesi temuduga lisan bagi ujian Tilawah al-Quran yang bermula pada jam 8.45 pagi, sekitar jam 10.00 pagi sesi ujian bertulis pula dijalankan. Pihak sekolah terpaksa membuka satu kelas lagi bagi mempastikan semua 110 calon yang hadir dapat menduduki ujian bertulis secara serentak.


Ujian bertulis dibahagikan kepada dua iaitu Kemahiran Asas Jawi dan Penilaian Kendiri Tabiat Belajar. Ujian bertulis tamat pada jam 10.45 pagi.

Pihak sekolah menerima maklumat bahawa beberapa calon daripada Kuantan dan Pekan tidak dapat menghadiri sesi temuduga tersebut. Ini berikutan satu kemalangan di Paloh Hinai di mana sebuah lori melintang jalan dan telah menghalang lalu lintas. Sehubungan dengan itu pihak sekolah membuka semula sesi temuduga bagi calon tercicir berkenaan pada 1 hingga 3 Disember 2014 (Isnin hingga Rabu) ini.

Pada hari Isnin 1 Disember 2014, seramai 5 orang calon telah menghadirkan diri, manakala pada Hari Rabu 3 Disember 2014 seorang lagi calon dijangka hadir. Ini menjadikan keseluruhan calon yang akan dinilai dan dipilih adalah seramai 116 orang.

Pihak sekolah merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas segala kerjasama yang telah ditunjukkan oleh semua ibu bapa dan penjaga yang hadir. Juga menyatakan setinggi-tinggi kesyukuran atas kepercayaan yang diberikan kepada pihak sekolah dalam usaha pendidikan ini. Kami berjanji untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak tuan/puan yang terpilih nanti.


Keputusan pengambilan pelajar Tingkatan 1 bagi sesi 2015 dijangka akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada hari Isnin, 8 Disember 2014. Pihak ibu bapa atau penjaga boleh merujuk ke laman blog ini atau menelefon pihak sekolah di talian 09-4458088.