Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

Tuesday, December 2, 2014

TEMUDUGA PENGAMBILAN PELAJAR TINGKATAN 1 BAGI TAHUN 2015

al-Hamdulillah sesi temuduga pengambilan pelajar Tingkatan 1 bagi Tahun 2015 telah berjalan dengan lancar pada hari Sabtu, 29 Novbember 2014 yang lalu. Seramai 110 orang calon telah ditemuduga.

Sesi temuduga bermula dengan pendaftaran pada jam 8.00 pagi dan diikuti dengan sesi penyemakan sijil dan dokumen pada jam 8.30 pagi. Semua ibu bapa telah memberikan kerjasama yang begitu baik sepanjang sesi temuduga berkenaan.
 Selepas sesi temuduga lisan bagi ujian Tilawah al-Quran yang bermula pada jam 8.45 pagi, sekitar jam 10.00 pagi sesi ujian bertulis pula dijalankan. Pihak sekolah terpaksa membuka satu kelas lagi bagi mempastikan semua 110 calon yang hadir dapat menduduki ujian bertulis secara serentak.


Ujian bertulis dibahagikan kepada dua iaitu Kemahiran Asas Jawi dan Penilaian Kendiri Tabiat Belajar. Ujian bertulis tamat pada jam 10.45 pagi.

Pihak sekolah menerima maklumat bahawa beberapa calon daripada Kuantan dan Pekan tidak dapat menghadiri sesi temuduga tersebut. Ini berikutan satu kemalangan di Paloh Hinai di mana sebuah lori melintang jalan dan telah menghalang lalu lintas. Sehubungan dengan itu pihak sekolah membuka semula sesi temuduga bagi calon tercicir berkenaan pada 1 hingga 3 Disember 2014 (Isnin hingga Rabu) ini.

Pada hari Isnin 1 Disember 2014, seramai 5 orang calon telah menghadirkan diri, manakala pada Hari Rabu 3 Disember 2014 seorang lagi calon dijangka hadir. Ini menjadikan keseluruhan calon yang akan dinilai dan dipilih adalah seramai 116 orang.

Pihak sekolah merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas segala kerjasama yang telah ditunjukkan oleh semua ibu bapa dan penjaga yang hadir. Juga menyatakan setinggi-tinggi kesyukuran atas kepercayaan yang diberikan kepada pihak sekolah dalam usaha pendidikan ini. Kami berjanji untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak tuan/puan yang terpilih nanti.


Keputusan pengambilan pelajar Tingkatan 1 bagi sesi 2015 dijangka akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada hari Isnin, 8 Disember 2014. Pihak ibu bapa atau penjaga boleh merujuk ke laman blog ini atau menelefon pihak sekolah di talian 09-4458088.


Monday, November 17, 2014

TEMUDUGA PENGAMBILAN PELAJAR TINGKATAN 1 SMA AL-HASANAH TAHUN 2015

Assalamualaikum w.b.t. 


Sukacita dimaklumkan bahawa SMA al-Hasanah telah menerima SEMUA PERMOHONAN yang telah dibuat sama ada secara ONLINE atau MANUAL.

Sehubungan dengan itu, tuan/puan diminta membawa anak tuan/puan menghadiri sesi Temuduga Pengambilan Pelajar Tingkatan 1 bagi sesi 2015 yang akan dilaksanakan sebagaimana butiran berikut: 

Tarikh: 29 November 2014 (Sabtu) 
Masa Pendaftaran : 8.00 pagi 
Tempat Pendaftaran: Dewan Makan Asrama SMA al-Hasanah


Sila bawa bersama semasa pendaftaran semua dokumen asal iaitu:
  • Kad pengenalan dan 1 salinan fotostat
  • Sijil kelahiran dan 1 salinan fotostat
  • Sijil-sijil asal akademik seperti UPSR dan UPKK dan Sijil-sijil asal kokurikulum
  • Salinan Kad Pengenalan ibu bapa
  • Kelengkapan alat tulis(pen, pensil dan getah pemadam)
  • 1 keping gambar terkini berukuran passport.

Tentatif Temuduga adalah seperti di bawah:

8.00 pagi - Pendaftaran bermula

8.30 pagi - Sesi temuduga lisan bermula

10.00 pagi - Ujian bertulis serentak

10.45 pagi - Temuduga lisan disambung hingga selesai.

Sesi temuduga meliputi perkara berikut:

1. Kemahiran membaca al-Quran (lisan)
2. Kemahiran tulisan jawi (bertulis)
3. Penilaian akademik UPSR dan UPKK (penyemakan dokumen)
4. Kepimpinan dan Kegiatan Kokurikulum (penyemakan dokumen)
5. Ketrampilan sahsiah (bertulis dan lisan)

Anak tuan/puan diminta berpakaian kemas dan bersopan, serta bersongkok (bagi lelaki) dan bertudung lengkap (bagi perempuan). 

Sila berhubung terus ke sekolah di nombor talian 09-4458088 untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung sesi temuduga berkenaan.

Kerjasama tuan/puan adalah amat dihargai. 

Wassalam.

Tuesday, July 8, 2014

SALAM RAMADHAN

Salam Ramadhan kepada semua warga SMA al-Hasanah . Tak lupa juga kepada semua ibu bapa dan penjaga pelajar. Maaf dipinta kerana agak lama tidak meng"update" blog ini. al-Maklum berhempas pulas di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland selama tiga minggu lebih menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan sempena Kursus NPQEL. Kursus Fasa Pertama yang amat mencabar tahap kebolehan dan kepimpinan saya mulai 8 Jun hingga 2 Julai 2014 yang lalu, alhamdulillah selesai dengan jayanya. Namun ada lagi assignment yang masih dalam garapan penulisan. 

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan walaupun agak terlewat yang hari ini telah masuk hari yang ke-10. Semoga semua kita beroleh rahmat dan pengampunan Allah SWT.

SELAMAT BERPUASA


Tuesday, May 27, 2014

SELAMAT BERCUTI PERTENGAHAN TAHUN 2014

Bahagian Hal Ehwal Murid SMA al-Hasanah mengucapkan selamat bercuti kepada semua pelajar dan guru SMA al-Hasanah yang akan mula bercuti pada 28 Mei 2014 hingga 15 Jun 2014.

namun demikian bagi pelajar Tingkatan 1A (Tahfiz), 2A (Tahfiz), Tingkatan 3 dan 5 masih terus berada di sekolah bagi mengikuti kelas tambahan (Pecutan Awal) selama 3 hari bermula esok, Rabu 28 Mei 2014.

Tahniah kepada semua pelajar dan guru yang masih setia dan berkobar-kobar melaksanakan kelas tambahan Pecutan Awal berkenaan. Semoga usaha yang dicurahkan akan membuahkan hasil.

SELAMAT BERCUTI

CUTI, CUTI JUGA...... BUKU TETAP DIBUKA!!!!!!!!!!!!!